Umat islam perlu menjauhi segala perbuatan keji dan maksiat supaya amalan puasa yang dikerjakannya tidak sia-sia apabila hanya memperoleh lapar dan dahaga.

 

“Hai orang-orang yang berfirman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Al-Baqarah : 183)

 

Ayat ini merupakan ayat yang memerintahkan fardu puasa pada tahun kedua hijrah. Di samping menyatakan kewajipan puasa, ayat ini juga menyatakan tujuan ibadah puasa “agar kamu bertakwa”. Darjah takwa adalah darjah tertinggi yang boleh dicapai oleh seorang hamba dan Allah menjanjikan syurga bagi mereka yang berjaya ke tahap itu. Sebagaimana firman Allah SWT dalam firman-Nya dalam Al-Qalam ayat 34 yang bermaksud, “Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa disediakan syurga-syurga yang penuh kenikmatan di sisi Tuhannya.”

 


Orang-orang yang bertakwa merupakan golongan paling mulia di sisi Allah, bukan sahaja akan mendapat kejayaan di akhirat bahkan layak mendapat bantuan Allah di dunia. Selain itu, ia dijadikan sumber keberkatan dan alat penyucian jiwa.

 

Sebagai seorang Muslim, melakukan ibadah puasa pada bulan Ramadan adalah salah satu kewajipan yang diperintahkan Allah kepada setiap umat Islam. Ibadah ini tidak hanya disyariatkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. sahaja, malahan kepada umat-umat sebelumnya. Dalam memastikan ibadah puasa yang dilakukan tidak sia-sia, maka ia harus berteraskan kepada dua landasan utama iaitu, Al-Quran dan Hadis.

 

Ramadan merupakan bulan kebaikan dan barakah kepada seluruh umat Islam. Dalam bulan ini, Allah menurunkan kitabNya yang mulia pada malam Lailatul Qadar sebagai petunjuk bagi manusia, ubat bagi orang mukmin, membimbing kepada yang lebih lurus dan menerangkan jalan petunjuk. Segala perlakuan kejahatan dan maksiat menjadi kurang kerana para syaitan dan jin-jin jahat telah dirantai dan diikat. Mereka tidak dapat bebas daripada merosakkan manusia seperti bulan-bulan yang lain.

 


Oleh yang demikian, umat Islam dapat melakukan ibadah dengan tenang, dapat membersihkan jiwa hingga hilang nafsunya dan melupakan kesenangan dunia dengan berpuasa, membaca Al-Quran dan melakukan amalan kebaikan yang lainnya secara khusyuk. Di tutup pintu-pintu neraka dan dibuka seluas-luasnya pintu syurga kerana amalan kebaikan yang dilakukan tanpa gangguan daripada syaitan yang direjam itu.

 

HIKMAH PUASA
Di dalam berpuasa, setiap Muslim diperintahkan untuk meninggalkan pelbagai syahwat (nafsu), makanan, dan minuman. Itu semua dilakukan semata-mata kerana Allah. Sepertimana dalam hadis qudsi, Allah SWT berfi rman yang bermaksud, “Dia telah meninggalkan syahwat dan makanan keranaKu,” (Riwayat Muslim). Antara hikmah meninggalkan nafsu dan kesenangan dunia ketika berpuasa adalah:

 

Pertama : Dapat mengendalikan jiwa dengan baik. Apabila seseorang itu berasa terlalu kenyang kerana makan dan minum serta nikmat kepuasan ketika melakukan hubungan suami isteri akan membuatkan seseorang itu lupa diri, kufur dengan nikmat Allah dan menjadi leka serta lalai. Oleh itu, dengan ibadah puasa dapat membantu seseorang hamba itu memelihara jiwanya daripada menjadi kotor.

 


Kedua : Hati akan sentiasa cenderung untuk melakukan hal-hal baik dan mengingati Allah SWT. Apabila seseorang itu terlalu memikirkan kesenangan duniawi dan terbuai dengan makanan-makanan yang dimakan, hati akan terpesong daripada memikirkan hal-hal kebaikan dan menjauhi Allah. Dengan itu, hati akan bercahaya, menjadi lembut dan semakin mudah untuk bertafakur serta berzikir kepada Allah.

 


Ketiga : Rasa bersyukur akan terbit dengan segala nikmat yang dikecap berbanding dengan mereka yang memerlukan seperti orang fakir, miskin dan yatim piatu. Dengan adanya rasa syukur itu, mereka yang berkemampuan akan dengan senang hati berbahagi harta dengan mereka yang memerlukan iaitu dengan erti kata lain bersedekah. Amal jariah yang dilakukan menandakan seseorang itu menunjukkan rasa terima kasih kepada Allah. Segala rezeki yang dikecap adalah pemberian daripada-Nya.

 

Keempat : Berpuasa dapat membantu mengehadkan perjalanan darah. Seperti yang diketahui umum, syaitan itu berada dalam pengaliran darah manusia. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya syaitan mengalir dalam diri manusia pada tempat mengalirnya darah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Oleh itu, berpuasa dapat menenangkan syaitan yang sering kali menyebabkan was-was dalam diri manusia dan dapat menghindarkan daripada rasa marah dan bernafsu. Oleh yang demikian, Rasulullah menjadikan puasa sebagai salah satu ubat yang mujarab bagi orang yang ingin bernikah tetapi belum sampai waktunya.

 


MENJADI LEBIH BAIK
Di bulan Ramadan, setiap umat Islam harus menjauhi segala perbuatan keji dan maksiat supaya amalan puasa yang dikerjakannya menjadi tidak sia-sia, tetapi apa yang diperolehnya hanyalah lapar dan dahaga. Setiap manusia harus berusaha menjaga lisannya daripada mengeji dan mengutuk orang lain dan pelbagai perkataan maksiat termasuk berdusta, melakukan maksiat dan hal-hal lain yang sia-sia.

 

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda, “Puasa bukanlah hanya menahan makan dan minum sahaja. Akan tetapi, puasa adalah dengan menahan diri dari perkataan lagwu dan rofats. Apabila ada seseorang yang mencelamu tau berbuat usil padamu, katakanlah padanya, “Aku sedang puasa, aku sedang puasa”,” (Riwayat Ibnu Majah dan Hakim). Lagwu bererti perkataan sia-sia atau tidak berfaedah. Manakal rofats adalah istilah untuk setiap hal yang diinginkan lelaki kepada wanita atau kata-kata berbaur kotor dan keji.

 

Sekiranya seorang Muslim itu dalam keadaan berpuasa, maka hendaklah dia menjaga pendengarannya, penglihatannya dan lisannya daripada hal-hal yang haram serta jangan sesekali menyakiti jiran. Jangan jadikan hari puasa sama seperti hari-hari biasa. Dikatakan seburuk-buruk puasa apabila seseorang itu hanya dapat menahan lapar dan dahaga sedangkan perbuatan maksiat masih berleluasa.

 

Oleh yang demikian, ketika datangnya bulan Ramadan setiap insan harus menjadi lebih baik dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain kerana banyaknya ganjaran pahala yang ditawarkan Allah untuk hambanya. Mereka yang sebelum ini malas untuk menunaikan solat lima waktu, seharusnya sedar dengan kelalaian itu. Juga bagi kaum lelaki untuk bersolat jemaah di masjid bukan hanya pada bulan Ramadan tetapi pada bulan-bulan selainnya. Begitu juga wanita-wanita yang mengenakan tudung pada bulan Ramadan. Hal tersebut sepatutnya dijaga dengan sempurna pada bulan yang lain. Justeru, Rasulullah s.a.w. bersabda, “(Ketahuilah bahawa) amalan yang dicintai oleh Allah adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Riwayat Abu Dawud, An Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah). Ada juga para ulama yang mengatakan “Seburuk-buruk kaum adalah yang mengenal Allah (rajin ibadah) hanya pada bulan Ramadan sahaja.”

 

KELEBIHAN LAILATUL QADAR
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahwa Rasulullah SAW pernah bersabda, “Ketika dating bulan Ramadan: sesungguhnya telah dating kepadamu bulan yang penuh berkat, diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa, dalam bulan ini pintu Jannah dibuka, pintu neraka ditutup, syaitan-syaitan dibelenggu. Dalam bulan ini ada suatu malam yang nilainya sama dengan seribu bulan, maka diharamkan kebaikannya bagi siapa yang tidak beramal baik di dalamnya, sesungguhnya tidak mendapat kebaikan di bulan lain seperti di bulan ini.” (Riwayat Ahmad, Nasai dan Baihaqi)

 

Wujudnya satu malam rahsia yang amat istimewa iaitu malam Lailatul Qadar pada bulan Ramadan khusus untuk umat Islam. Walaupun begitu, Allah merahsiakan waktu sebenar berlakunya malam tersebut daripada pengetahuan manusia agar mereka bersemangat untuk mencarinya. Ribuan malaikat akan turun ke bumi dan datang mendekati manusia yang beribadat dengan penuh keimanan dan ketakwaan lalu mendoakan setiap daripada manusia itu yang sentiasa mendekati Allah SWT pada malam tersebut. Allah juga menyatakan kepada para malaikat bahawa doa-doa yang dipohon hambanya akan di makbulkan.

 


Antara kelebihan malam tersebut ialah malaikat turun bersama empat panji-panji iaitu empat bendera yang diletakkan di empat tempat iaitu, diletakkan di atas makam nabi, di Baitul Maqdis, Baitullah dan Bukit Thur.

 


Lailatul Qadar adalah malam yang penuh berkat dan digambarkan ia lebih baik daripada 1000 bulan. Barang siapa yang terlepas daripada mengecap malam itu, maka dia telah terlepas daripada segala kebaikan dan sangat rugi.

 


Oleh yang demikian, seorang Muslim itu seharusnya berebut-rebut dalam mencari ganjaran pahala Allah dan melakukan ibadah dengan lebih giat dengan dasar iman. Mereka haruslah mencontohi Rasulullah yang gigih beribadah pada sepuluh malam ganjil terakhir bulan Ramadan yang dikatakan berlakunya malam Lailatul Qadar itu. ‘Aisyah r.a menceritakan, “Rasulullah SAW sangat bersungguh-sungguh pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan melebihi kesungguhan baginda di waktu yang lainnya.” (Riwayat Muslim)

 


Adapun yang dimaksudkan dengan menghidupkan malam Lailatul Qadar adalah dengan melakukan ibadah pada sepertiga malam dan bukannya seluruh malam. Ibadah yang dilakukan bukan hanya dengan bersolat, malahan berzikir kepada Allah dan membaca Al-Quran. Namun, amalan solat merupakan amalan yang lebih utama dari amalan yang lainnya. Sepertimana yang diriwayatkan dalam hadis, “Barangsiapa melaksanakan solat pada malam Lailatul Qadar kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni.” (Riwayat Bukhari)

 


Setiap umat Islam sangat digalakkan untuk memperbanyakkan bacaan doa pada malam tersebut terutama doa yang sentiasa menjadi amalan Rasulullah. Dari ‘Aisyah r.a berkata, “Katakan padaku wahai Rasulullah, apa pendapatmu jika kau mengetahui suatu malam adalah Lailatul Qadar. Apa yang aku katakana di dalamnya?” Baginda menjawab, “Katakanlah: Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf lagi Maha Mulia yang menyukai permintaan maaf, maafkanlah aku.” (Riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah)

 


Antara tanda terjadinya malam istimewa itu adalah suasana yang tidak panas dan tidak sejuk serta pada paginya matahari naik tidak banyak cahayanya kerana banyak malaikat turun naik pada malam itu.

 


Kebiasaannya Rasulullah SAW beriktikaf dengan memasuki masjid pada petang 19 Ramadan selepas waktu asar. Iktikaf bererti berhenti di masjid, berhenti dari segala urusan dunia, disertai niat untuk berhenti di dalam masjid sambil melakukan amalan seperti membaca Al-Quran, bertasbih dan bersembahyang. Isteri-isteri baginda pula beriktikaf di rumah masing-masing iaitu di tempat yang biasanya mereka bersembahyang. Hukum iktikaf pada 10 akhir Ramadan adalah fardu Kifayah dalam mazhab Hanafi dan sunat muakkad (utama) dalam Mazhab Syafie.

center